KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji melalui anak syarikatnya, TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) melancarkan projek pembangunan taman teknologi techpark@enstek Fasa 3 di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.4 bilion.
Taman membabitkan kawasan seluas 616.64 ekar itu adalah fasa terbaharu bagi taman perindustrian di dalam perbandaran Bandar Enstek seluas 5,119 ekar. Tiga fasa projek itu membentuk 1,750.80 ekar tanah pegangan bebas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim berkata, pihaknya optimis prospek pertumbuhan projek terbabit melihat kepada lokasi utama, sambungan akses, kemudahan capaian, respons dan dasar terbuka Kerajaan Negeri Sembilan terhadap pelabur khususnya dalam industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata, techpark@enstek Fasa 3 bakal dibangunkan dalam enam fasa untuk tempoh 14 tahun, merangkumi plot perindustrian, komersial dan kilang berkembar.
Katanya, setakat ini, TH Prop telah menerima pertanyaan daripada beberapa syarikat besar dalam industri farmaseutikal dan industri halal, yang berminat untuk membeli plot industri di kawasan itu.
“Sebagai antara pemain utama dalam industri, saya percaya techpark@enstek mampu berkembang lebih jauh untuk menjadi nukleus perbandaran ini melalui pembangunan mampan yang mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negeri dari masa ke semasa sekali gus membantu meningkatkan trajektori untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi.
“Selain itu, kita juga menyasarkan pihak Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS). Kita dijangka akan menerima impak kewangan daripada pelbagai aktiviti sebanyak 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek itu di sini, semalam.
Pelancaran disempurnakan oleh Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Techpark@enstek adalah taman teknologi pertama menerima status HALMAS oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HIDC) yang kini menempatkan sejumlah besar syarikat multinasional dan jenama terkenal sejak dimulakan pada 2002.
Taman itu merupakan hab teknologi dan halal utama di Negeri Sembilan yang turut menyalurkan perkhidmatan ke kawasan metropolitan Kuala Lumpur dan Selangor.
Antara tarikan pelabur ke projek itu adalah harga tanah yang berpatutan, infrastruktur tenaga yang kukuh dan jarak yang dekat dengan ibu kota serta pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.
Azman menambah, kesan limpahan pertumbuhan di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik ke kawasan tersebut bakal memberi manfaat kepada pemaju yang mempunyai pegangan bank tanah.
Sehingga kini katanya, taman industri itu telah membawa masuk pelaburan lebih RM4 bilion dan mencipta 1,500 peluang pekerjaan untuk penduduk Bandar Enstek dan kawasan sekitar.
“Ini dijangka akan memberi sumbangan yang baik kepada sasaran Kerajaan Negeri Sembilan untuk mencapai pelabuhan sebanyak RM5 bilion tahun ini, setelah negeri itu mencatatkan pelaburan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun lalu dengan jumlah RM8.9 bilion,” katanya.
Beliau berkata, TH Prop yakin Kumpulan akan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan itu, yang diskong oleh unjuran ekonomi terhadap permintaan industri hartanah di Malaysia dijangka melebihi RM13 bilion setahun. – UTUSAN
Source: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2023/11/th-prop-lancar-techparkenstek-fasa-3-gdv-rm1-4-bilion/