KUALA LUMPUR: Taman Perindustrian Bandar Teknologi Enstek (Techpark@Enstek) sudah mengumpul pelaburan melebihi RM4 bilion dan menjana lebih 1,500 pekerjaan, demikian mengikut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, berkata jumlah pelaburan untuk projek industri makanan dan minuman di taman perindustrian itu membabitkan pelabur daripada luar negara dan tempatan.
Katanya, pertumbuhan pelaburan asing ke dalam Negeri Sembilan itu akan membantu memangkin matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta membangunkan kluster baharu dan sedia ada.
“Justeru itu, kerajaan negeri kekal komited menyediakan pelbagai insentif untuk memberi laluan dan kemudahan kepada syarikat seperti TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dalam membangunkan perniagaan contohnya melalui polisi laluan hijau, pengurangan bayaran premium tanah, pengurangan premium pertukaran status tanah, caj sumbangan modal (untuk infrastruktur dan utiliti) dan lain-lain lagi.
“Banyak lagi program pemerkasaan ekonomiyang dilaksanakan untuk membangunkan Negeri Sembilan yang dipacu oleh Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 (RPNS) dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2023-2027 (PEONS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis pelancaran Techpark@Enstek Fasa 3 di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TH Prop, Azman Ibrahim.
Sementara itu, Azman berkata Techpark@Enstek Fasa 3 memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.
Ia adalah kesinambungan daripada kejayaan Fasa 1 dan 2 yang sudah merekodkan penjualan masing-masing sebanyak 100 peratus dan 90 peratus.
Beliau berkata, fasa 3 itu juga bukan sahaja yang terbesar di antara ketiga fasa, dengan jumlah keluasan 616.64 ekar tetapi juga bakal menampilkan produk tambahan iaitu kilang semi-D.
Katanya, penampilan produk tambahan iaitu kilang semi-D di Techpark@Enstek Fasa 3 adalah bagi memenuhi permintaan pelabur, sejajar dengan trend semasa terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.
Pembangunan taman perindustrian fasa 3 itu katanya bermula tahun ini dan akan dibangunkan secara berperingkat dalam enam fasa, yang merangkumi tempoh pembangunan selama 14 ke 15 tahun.
“Dua fasa awal Techpark@Enstek sebelum ini mendapat sambutan daripada pelabur domestik dan asing kerana ia adalah taman perindustrian yang berstatus HALMAS dan mematuhi konsep Pengeluaran Bersih.
“Justeru itu, ia menjadi hab pilihan pelabur di bidang sains hayat, ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi.
“Bagi fasa 3 ini juga, walaupun baru dilancarkan tetapi ia sudah mendapat permintaan daripada pelabur terutamanya syarikat dari China.
“Justeru itu kami yakin Techpark@Enstek Fasa 3 akan mencapai kejayaan yang sama seperti dua fasa sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata, secara kolektif, peranan Techpark@Enstek di dalam pembangunan Bandar Enstek adalah ibarat pencetus perubahan perbandaran itu yang melaluinya menjana pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan serta mendorong kerancakan ekosistem bandar dan kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, TH Properties membangunkan Bandar Enstek dengan visi kelestarian sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dan kemampanan melalui penyatuan harmonis komponen komersial, kediaman, pendidikan dan perindustrian. Kemakmuran perbandaran itu katanya bergantung kepada hubungan bersinergi komponen berkenaan.
“Bukan sahaja di Bandar Enstek, malah kami juga cuba menerapkan nilai-nilai yang sama di pembangunan TH Properties yang lain seperti Kota Semarak, di Jalan Yahya Petra, Kuala Lumpur atau di Bandar Warisan Puteri 2, Seremban.
“Di Kota Semarak umpamanya, kami menggabungkan elemen bangunan hijau ke dalam pembangunan seperti mengadakan stesen pengecas kenderaan elektrik dan penuaian air hujan.
“Segmen hartanah masih menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan sekitar 30 peratus,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2023/11/1177614/techparkenstek-sudah-tarik-pelaburan-rm4-bilion-jana-1500-pekerjaan