Techpark@Enstek kumpul pelaburan lebih RM4 bilion

TAMAN Perindustrian Bandar Teknologi Enstek (Techpark@Enstek) mengumpul pelaburan melebihi RM4 bilion dan menjana lebih 1,500 pekerjaan, demikian mengikut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, jumlah pelaburan projek industri makanan dan minuman di taman perindustrian itu membabitkan pelabur daripada luar negara dan tempatan.

Katanya, pertumbuhan pelaburan asing ke dalam Negeri Sembilan itu membantu memangkin matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta membangunkan kluster baharu dan sedia ada.

“Justeru, kerajaan negeri kekal komited menyediakan pelbagai insentif untuk memberi laluan dan kemudahan kepada syarikat seperti TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dalam membangunkan perniagaan contohnya menerusi polisi laluan hijau, pengurangan bayaran premium tanah, pengurangan premium pertukaran status tanah, caj sumbangan modal (untuk infrastruktur dan utiliti) dan lain-lain.

“Banyak lagi program pemerkasaan ekonomi dilaksanakan untuk membangunkan Negeri Sembilan yang dipacu Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 (RPNS) dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2023-2027 (PEONS),” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran Techpark@Enstek Fasa 3 di sini, semalam.

Ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TH Prop, Azman Ibrahim.

Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/11/1030982/techparkenstek-kumpul-pelaburan-lebih-rm4-bilion